Anak batuk dan selesema, kemudian mula demam. Hilang selera makan dan kurang aktif. Hidung tersumbat dan menyukarkan pernafasan. Anak merengek dan meragam berterusan. Ibu kurang tidur menyebabkan emosi terganggu. Tubuh pula letih. Dari seorang anak, berjangkit pula kepada anak lain. Ibu sudah terlalu kerap mengambil Emergency Leave. Kawan sepejabat mula mengata. Setiap bulan kitaran sama berulang.
Argghhh stressnya!! Anak menangis, ibu turut sama menangis. Saya faham, bukan mudah menjaga anak kecil yang tidak sihat. Memerlukan kekuatan fizikal dan kecekalan emosi untuk melalui fasa ini. Hanya seorang supermom mampu menghadapinya. Tahniah kerana anda memang seorang supermom!
Setelah pelbagai usaha dilakukan, akhirnya ibu membawa anak ke klinik untuk berjumpa doktor. Tanpa berfikir panjang, ibu terus meminta ubat ajaib- ubat batuk, selesema dan antibiotik (mati kuman). Hajatnya inginkan kelegaan serta merta. Happy baby, happy mom :)
Nanti dulu!!!
Kebiasaannya apabila berjumpa dengan kes sebegini, saya akan menilai data pesakit termasuklah lingkungan umur, faktor risiko lain seperti bayi lahir pramatang atau penyakit sedia ada seperti Asthma.
Soalan 1: Apakah punca batuk?
90% punca batuk adalah disebabkan jangkitan kuman saluran pernafasan. Sebahagian besar adalah pada bahagian saluran pernafasan atas (Upper Respiratory Tract Infection) dan sebahagian kecil jangkitan peparu (Lower Respiratory Tract Infection/ Pneumonia/ Bronchiolitis)
Soalan 2: Adakah batuk serius?
Tanda tanda batuk serius termasuklah mengalami kesukaran bernafas, pernafasan berbunyi (wheeze), hilang selera makan dan minum, kekurangan air dalam badan (dehydrated), kurang aktif, letih dan lesu.
Soalan 3: Apakah karakter batuk?
Kebiasaannya ibu akan menjawab batuk biasa. Saya suka dengan jawapan ini :)
Adakah batuk yang luar biasa? Tentu ada! Ada batuk yang berbunyi seperti anjing menyalak (barking cough), disertai suara garau dan berbunyi ketika menarik nafas (inspiratory stridor). Penyakit ini dipanggil Croup dan disebabkan oleh jangkitan virus di bahagian trakea, bronkus dan peti suara. Kebiasaannya penyakit ini berlaku kepada merek dalam lingkungan umur 6 bulan sehingga 3 tahun. Ia boleh dirawat dirumah jika tiada simptom kesukaran bernafas.
Ada pula batuk teruk yang bersambung sambung dan di penghujungnya menghasilkan bunyi "whooping" ketika menarik nafas. Whooping cough adalah disebabkan jangkitan kuman Bordetella Pertussis, sejenis penyakit yang boleh dicegah dengan vaksinasi pada umur 2,3, 5 dan 18 bulan. Kanak kanak kadangkala akan muntah dan boleh berhenti bernafas.
Ibu boleh cuba search di youtube dengan keyword 'whooping cough' dan 'barking cough' untuk mengenali batuk ini
Soalan 4: Apakah komplikasi batuk?
Komplikasi berlaku dalam 12% kes. Antaranya:
Jangkitan kuman di telinga (Otitis Media)
Cirit birit
Bronkitis
Jangkitan kuman peparu (Pneumonia)
Soalan 5: Adakah antibiotik perlu?
Kebanyakan kes disebabkan jangkitan virus, dimana antibiotik bukanlah ubat yang sesuai. Jika doktor merasakan bahawa anak anda dijangkiti bakteria, antibiotik mungkin diperlukan. Anak yang dijangkiti virus rata rata aktif dan mempunyai selera makan seperti biasa biarpun batuk teruk dan hingus meleleh! Anak yang dijangkiti bakteria lebih teruk keadaannya, lemah, hilang selera makan (toxic)
Soalan 6: Adakah ubat batuk dan selesema selamat?
Ubat batuk dan selesema TIDAK BOLEH diberikan kepada kanak kanak bawah umur 2 tahun kerana ubat ini boleh menghentikan pernafasan dan seterusnya membawa maut. Untuk kanak kanak lebih 2 tahun, boleh berikan ubat untuk melegakan simptom. Tetapi umur paling selamat untuk diberikan ubat ini adalah 6 tahun ke atas
Soalan 7: Bilakah anak saya akan sembuh?
Ramai ibu bimbang bila batuk anak mereka berterusan. Sebenarnya batuk mengambil masa 3-4 minggu untuk sembuh sepenuhnya. Ibu tidak perlu bimbang selagi mana anak masih aktif dan ceria :)
Semoga 7 soalan ini dapat membantu ibu membuat keputusan ketikan menghadapi masalah anak batuk :) Jangan berasa selamat berikan anak antibiotik mahupun ubat batuk dan selesema!
Anda ada sebarang pertanyaan berkaitan masalah kesihatan yang ingin dijawab oleh Dr Maryam Aziz? Sila klik di ruangan atas sebe;ah kanan "Tanya Dr Maryam Aziz" Saya akan jawab dalam tempoh 24 jam menerusi video di Facebook Page Dr Maryam Aziz :)
theClinic by Dr Maryam Aziz
Your trusted doctor serving the community
Find us on Facebook and Instagram!
No comments:
Post a Comment