Sepasang suami isteri kelihatan sugul. Si suami kemas berkopiah, si isteri cantik bertudung litup. "Doktor, saya dah 2 hari tak datang haid. Nak cek mengandung", isteri memulakan bicara. Saya tersenyum, "Awal sangat ni. Boleh tunggu dua minggu lagi, puan"
"Biasa saya datang haid tepat. Ni dah lewat 2 hari, saya bimbang mengandung, Saya tak nak mengandung!" nada suara bergetar, mengisyaratkan bahawa bila bila masa saja empangan air mata akan pecah. Dipendekkan kisahnya, saya menyuruhnya berikan sampel air kencing setelah dia berkeras ingin cek.
Nalurinya tepat. Ujian mengandung POSITIF. Kebiasaannya saya akan ucapkan tahniah penuh suka. Tapi kali ini saya memandangnya penuh empati sambil melepaskan keluhan berat. Ketika isteri ke tandas untuk kencing, sempat suaminya meminta tolong kepada saya. Katanya isterinya datang dengan harapan untuk menggugurkan kandungan. "Doktor tolong jangan bagi dia ubat gugur...," rayu suaminya.
Saya tak pernah berikan ubat untuk gugurkan kandungan mahupun memiliki ubat itu dalam simpanan. TIDAK MAMPU. Itulah jawapan paling kerap saya terima apabila ditanya mengapa menolak rezeki anak? Dia seorang guru. Anaknya 6 orang. Salah seorang cacat dan perlu diuruskan sepenuhnya. Semua anak dijaga sendiri.Anak bongsu belum pun 2 tahun umurnya. Suami bekerja jauh dan hanya pulang dihujung minggu.
TIDAK MAMPU.
Saya bertanya tentang amalan perancangan keluarga. Jawapan biasa- tidak ada. Tidak merancang keluarga tetapi apabila mengandung, bijak pula mencari seribu dalil untuk menghalalkan menggugurkan kandungan yang jelas ditegah oleh Islam.
Kali ini saya nak berkongsi pilihan yang ada untuk merancang keluarga. Amalan merancang keluarga adalah amalan menentukan bilangan anak yang anda inginkan dan bila anda inginkannya. Kadangkala kita ingin menangguhkan proses mengandung kerana sebab tertentu seperti masih belajar, masih belum bersedia secara emosi, anak masih kecil dan menyusu badan dan sebagainya.
1. Pil perancang keluarga
Ada 2 jenis pil perancang keluarga bergantung kepada kandungannya. Ada yang mengandungi estrogen dan ada yang mengandungi progestogen sahaja. Biasanya pil yang mengandungi progestogen sahaja diberikan kepada ibu menyusu bagi mengelakkan produksi susu berkurang. Pil ini mesti dimakan setiap hari pada waktu yang sama.
2. Implan
Implan adalah sejenis alat kecil berbentuk rod yang diletakkan bawah lapisan kulit di lengan. Implan boleh bertahan sehingga 3-5 tahun mengikut jenis. Rod ini mengandungi hormon yang akan dibebaskan dalam kuantiti kecil setiap hari bagi menghalang wanita dari mengandung
3. Alat dalam rahim
Alat ini dimasukkan dalam rahim menerusi faraj. Prosedur ini sangat mudah, sekejap dan tidak menyakitkan. Boleh bertahan 3-5 tahun bergantung kepada jenis alat. Ada yang mengandungi hormon dan ada yang tidak.
4. Suntikan
Suntikan hormon diberikan di punggung biasanya setiap 3 bulan.
5. Kondom
Cara ini mudah dan tidak perlu dapatkan bantuan doktor. Ada risiko untuk mengandung jika kondom terkoyak atau jika terlupa dipakai.
Sebenarnya ada beberapa cara lagi uintuk merancang keluarga. Ada cara yang kekal seperti mengikat tiub fallopian. Cara kekal dicadangkan kepada mereka yang berisiko tinggi jika mengandung seperti menghidapi penyakit membahayakan nyawa. Boleh dapatkan nasihat dari doktor untuk memilih cara merancang keluarga yang bersesuaian dengan kesihatan dan cara hidup anda :)
No comments:
Post a Comment