Showing posts with label antibiotik. Show all posts
Showing posts with label antibiotik. Show all posts

Sunday, February 14, 2016

Antibiotik punca penyakit ngeri Steven Johnson Syndrome



"Doktor, saya ada batuk sikit dan rasa semput sikit"
"Puan ada asthma?"
"Pernah ada. Sesekali dapat nebulizer di klinik. Tak pernah pakai ubat pam di rumah"
Saya pun cek pesakit ini. Tidak menampakkan tanda2 sukar bernafas. Saya dengar peparunya. Juga tiada bunyi menunjukkan asthma atau jangkitan pada paru2. 
"Ubat apa doktor nak bagi pada saya?"
"Saya bagi puan ubat batuk dan ubat asthma makan. Tapi peparu puan bagus, dan alhamdulillah puan pun tak demam"
"Doktor tak bagi saya antibiotik ke? Biasa saya kalau macam ni doktor bagi antibiotik baru boleh hilang. Doktor biasa bagi saya Augmentin"

Saya terkedu.. Augmentin? Augmentin biasa kami berikan kepada pesakit yang mempunyai jangkitan kuman peparu atau batuk teruk dan tidak respon kepada antibiotik seperti Amoxycillin.

Saya terangkan kepadanya kenapa antibiotik masih belum lagi perlu untuk tempoh masa ini. Tetapi dia tetap berdegil dan akhirnya pulang meninggalkan bilik saya dalam keadaan tidak berpuas hati. Pesakit selalu rasa lebih baik jika mereka pulang dari klinik dengan antibiotik

Namun, apa yang ramai tidak tahu, antibiotik bukan ubat ajaib yang jika dimakan, automatik segala jangkitan dapat diubati. Dalam memberikan preskripsi antibiotik, ada 3 pendekatan yang boleh digunakan

1. Memberikan antibiotik sekarang
2. Kita tunggu dan lihat
3. Tidak perlu berikan antibiotik

Jika doktor ingin memberikan antibiotik, katakan NANTI DAHULU!
Adakah antibiotik ini benar benar perlu?

1. Jika antibiotik digunakan dalam keadaan dimana rawatannya tidak memerlukan antibiotik (contohnya batuk dan selsema yang biasanya berpunca dari jangkitan virus), keberkesanan antibiotik tersebut akan berkurang bilamana ia benar-benar diperlukan nanti. Keadaan ini dipanggil 'antibiotic resistance'

2. Perbelanjaan yang tidak perlu- harga antibiotik bukanya murah!

3. Antibiotik berisiko tinggi uuntuk menghasilkan reaksi hypersensitiviti (alahan). Antara kesannya adalah anaphylaxis (sesak nafas, tekanan darah rendah) atau Steven Johnson Syndrome.

4. Kebanyakan jangkitan seperti batuk dan selsema adalah disebabkan oleh virus dan tidak memerlukan antibiotik. Jika demam berpanjangan, simptom menjadi lebih teruk, arahkan mereka untuk datang membuat pemeriksaaan semula, kerana kadangkala jangkitan bakteria boleh menyusuli jangkitan virus. Pada waktu itu, barulah antibiotik diperlukan.

Bagaimana membezakan jangkitan bakteria dan virus?

Untuk penyakit-penyakit yang biasa dijumpai di klinik:

Jangkitan bakteria:
1. Jangkitan kuman air kencing
2. Jangkitan luka dan kulit
3. Sinusitis yang teruk
4. Sesetengah jangkitan telinga dan mata
5. Sakit tekak disebabkan staph aureus

Jangkitan virus:
1. Batuk
2. Selesema
3. Sesetengah jangkitan telinga dan mata
4. Sakit tekak
5. Cirit birit

Bagaimana dengan anak yang mempunyai selesema dan batuk berpanjangan?

Soalan ini selalu ditanyakan oleh para ibu kepada saya di klinik
Saya selalu akn bertanya semula: Adakah puan menghantar anak ke taska?
Ini kerana, batuk biasa akan berterusan selama 2-3 minggu. Apabila anak ke taksa, dia akan menjagkiti orang lain dalam tempoh ini. Ketika batuk anak anda hampir sembuh, jangkitan yang telah disebar tadi akan kembali kepadanya, maka anak anda batuk semula! Virus itu seperti bergerak dalam satu pusingan. Kelihatan seperti anak anda batuk berterusan selama sebulan atau lebih. Tetapi jika saya minta si ibu meberikan perhatian betul2 betul kepada simptom anak, mereka selalu memberitahu saya bahawa, "Haritu batuk macam dah kurang banyak, tapi jadi semula"
Saya hanya senyum. Itu bukan indikasi untuk saya mulakan rawatan dengan antibiotik!

Saya selalu mencadangkan kepada para ibu bapa untuk memberikan makanan berkhasiat penuh nutrisi kepada anak untuk menguatkan sistem imun mereka

Bila saya kata begitu, ada pulak ibu yang bertanya:

Doktor boleh tak kalau saya bagi anak makan vitamin c dan tak bagi ubat batuk?

Anda mesti faham bahawa suplemen untuk meningkatkan kekuatan imuniti dan membantu tubuh melawan jangkitan kuman. Tetapi jika anda telah pun dijangkiti, maka anda memerlukan ubat untuk melegakan simptom. Kasihanlah tengok anak yang batuk tak berhenti dan hingus meleleh sahaja kan?

Jadilah pesakit yang bijak yang mengambil berat kesihatan diri dan mengetahui apa yang anda berikan kepada tubuh!

Penulisan ini tidak bertujuan mengatakan bahawa antibiotik tidak boleh diberikan kepada anak. Peratusan pesakit yang mendapat alahan dan Steven Johnson Syndrome apabila makan antibiotik adalah kecil tetapi itu mungkin menjadi satu punca penyesalan jika antibiotik sebenarnya tidak perlu pun diberikan kepada pesakit. Ibu bapa haruslah ingat bahawa antibiotik perlu jika anak anda mendapat jangkitan bakteria dan keadaannya berbahaya jika tidak dirawat dengan antibiotik! Berbincanglah dengan doktor anda untuk mencapai keputusan terbaik. Kebiasaannya doktor anda lebih tahu berdasarkan pengalaman dan ilmu perubatannya. Tetapi janganlah anda mendesak doktor untuk berikan antibiotik sekiranya tidak diperlukan :)

Sunday, February 7, 2016

AWAS! Ubat batuk membawa maut


Anak batuk dan selesema, kemudian mula demam. Hilang selera makan dan kurang aktif. Hidung tersumbat dan menyukarkan pernafasan. Anak merengek dan meragam berterusan. Ibu kurang tidur menyebabkan emosi terganggu. Tubuh pula letih. Dari seorang anak, berjangkit pula kepada anak lain. Ibu sudah terlalu kerap mengambil Emergency Leave. Kawan sepejabat mula mengata. Setiap bulan kitaran sama berulang.

Argghhh stressnya!! Anak menangis, ibu turut sama menangis. Saya faham, bukan mudah menjaga anak kecil yang tidak sihat. Memerlukan kekuatan fizikal dan kecekalan emosi untuk melalui fasa ini. Hanya seorang supermom mampu menghadapinya. Tahniah kerana anda memang seorang supermom!

Setelah pelbagai usaha dilakukan, akhirnya ibu membawa anak ke klinik untuk berjumpa doktor. Tanpa berfikir panjang, ibu terus meminta ubat ajaib- ubat batuk, selesema dan antibiotik (mati kuman). Hajatnya inginkan kelegaan serta merta. Happy baby, happy mom :)

Nanti dulu!!!

Kebiasaannya apabila berjumpa dengan kes sebegini, saya akan menilai data pesakit termasuklah lingkungan umur, faktor risiko lain seperti bayi lahir pramatang atau penyakit sedia ada seperti Asthma. 

Soalan 1: Apakah punca batuk?

90% punca batuk adalah disebabkan jangkitan kuman saluran pernafasan. Sebahagian besar adalah pada bahagian saluran pernafasan atas (Upper Respiratory Tract Infection) dan sebahagian kecil jangkitan peparu (Lower Respiratory Tract Infection/ Pneumonia/ Bronchiolitis)

Soalan 2: Adakah batuk serius?

Tanda tanda batuk serius termasuklah mengalami kesukaran bernafas, pernafasan berbunyi (wheeze), hilang selera makan dan minum, kekurangan air dalam badan (dehydrated), kurang aktif, letih dan lesu.

Soalan 3: Apakah karakter batuk?

Kebiasaannya ibu akan menjawab batuk biasa. Saya suka dengan jawapan ini :) 

Adakah batuk yang luar biasa? Tentu ada! Ada batuk yang berbunyi seperti anjing menyalak (barking cough), disertai suara garau dan berbunyi ketika menarik nafas (inspiratory stridor). Penyakit ini dipanggil Croup dan disebabkan oleh jangkitan virus di bahagian trakea, bronkus dan peti suara. Kebiasaannya penyakit ini berlaku kepada merek dalam lingkungan umur 6 bulan sehingga 3 tahun. Ia boleh dirawat dirumah jika tiada simptom kesukaran bernafas.

Ada pula batuk teruk yang bersambung sambung dan di penghujungnya menghasilkan bunyi  "whooping" ketika menarik nafas. Whooping cough adalah disebabkan jangkitan kuman Bordetella Pertussis, sejenis penyakit yang boleh dicegah dengan vaksinasi pada umur 2,3, 5 dan 18 bulan. Kanak kanak kadangkala akan muntah dan boleh berhenti bernafas.

Ibu boleh cuba search di youtube dengan keyword 'whooping cough' dan 'barking cough' untuk mengenali batuk ini

Soalan 4: Apakah komplikasi batuk?

Komplikasi  berlaku dalam 12% kes. Antaranya:
Jangkitan kuman di telinga (Otitis Media)
Cirit birit 
Bronkitis
Jangkitan kuman peparu (Pneumonia)

Soalan 5: Adakah antibiotik perlu?

Kebanyakan kes disebabkan jangkitan virus, dimana antibiotik bukanlah ubat yang sesuai. Jika doktor merasakan bahawa anak anda dijangkiti bakteria, antibiotik mungkin diperlukan. Anak yang dijangkiti virus rata rata aktif dan mempunyai selera makan seperti biasa biarpun batuk teruk dan hingus meleleh! Anak yang dijangkiti bakteria lebih teruk keadaannya, lemah, hilang selera makan (toxic)

Soalan 6: Adakah ubat batuk dan selesema selamat?

Ubat batuk dan selesema TIDAK BOLEH diberikan kepada kanak kanak bawah umur 2 tahun kerana ubat ini boleh menghentikan pernafasan dan seterusnya membawa maut. Untuk kanak kanak lebih 2 tahun, boleh berikan ubat untuk melegakan simptom. Tetapi umur paling selamat untuk diberikan ubat ini adalah 6 tahun ke atas

Soalan 7: Bilakah anak saya akan sembuh?

Ramai ibu bimbang bila batuk anak mereka berterusan. Sebenarnya batuk mengambil masa 3-4 minggu untuk sembuh sepenuhnya. Ibu tidak perlu bimbang selagi mana anak masih aktif dan ceria :)

Semoga 7 soalan ini dapat membantu ibu membuat keputusan ketikan menghadapi masalah anak batuk :) Jangan berasa selamat berikan anak antibiotik mahupun ubat batuk dan selesema!

Anda ada sebarang pertanyaan berkaitan masalah kesihatan yang ingin dijawab oleh Dr Maryam Aziz? Sila klik di ruangan atas sebe;ah kanan "Tanya Dr Maryam Aziz" Saya akan jawab dalam tempoh 24 jam menerusi video di Facebook Page Dr Maryam Aziz :)

theClinic by Dr Maryam Aziz
Your trusted doctor serving the community
Find us on Facebook and Instagram!