Sekarang heboh dengan
virus dari Amerika Selatan atau dikenali sebagai virus Zika. Pelbagai andaian
dibuat. Ada yang kata itu adalah bala dari Tuhan, ada yang kata itu adalah peringatan.
Wallahua’lam. Hari ini saya akan kongsikan maklumat khas tentang virus Zika,
mudah mudahan kita semua terselamat dari jangkitan virus ini.
Masih banyak perkara yang tidak diketahui
mengenai penyakit Zika ini, namun dipercayai bahawa ia adalah penyakit bawaan
nyamuk. Tempoh “viraemia” iaitu virus berada dalam darah dijangka adalah sama dengan jangkitan denggi. Oleh
itu tempoh lebih dari 4 minggu selepas kembali ke tanah air dijangka tidak lagi
berada dalam keadaan “viraemia” dan tidak berisiko untuk menularkan jangkitan
tersebut kepada orang lain.
Apakah definisi
jangkitan virus Zika?
Jangkitan virus Zika
dikategorikan dalam 3 kumpulan
- 1. Kes disyaki/ suspek
- 2. Kes kecacatan kepala bayi kecil
- 3. Kes disahkan
Kes suspek
Demam (37.5C) atau ruam disertai dengan satu atau lebih
dari gejala berikut:
- Sakit tubuh atau sakit sendi
- Sakit mata merah tanpa tahi mata
- Sakit kepala atau lemah badan
- Simptom **Guillain-Barre Syndrome
- Kepala bayi kecil (microcephaly) untuk
bayi berumur kurang 1 tahun
DAN
Sejarah melawati negara yang dijangkiti
virus Zika dalam tempoh 7 hari lepas atau sejarah *berhubung dengan kes positif.
Kes Terbukti
Memenuhi kriteria kes suspek dan disokong dengan
keputusan makmal positif virus Zika
Kes definisi untuk
kepala bayi kecil (microcephaly)
Diagnos di dalam rahim atau selepas
kelahiran sebagai kepala bersaiz kecil berpandukan carta saiz kepala bayi yang
digunakan oleh pengamal perubatan
*individu yang
tinggal didalam kawasan sama dengan suspek atau mempunyai sejarah hubungan
seksual dengan individu yang melawati negara terlibat
**Simptom Sindrom
Guillain-Barre:
- 1. Sensasi
menyucuk di jari tangan, kaki, buku lali atau pergelangan tangan
- 2. Lemah
kedua belah kaki dan merebak kebahagian atas tubuh
- 3. Ketidakstabilan
berjalan atau tidak boleh berjalan atau memanjat tangga
- 4. Kesukaran
menggerakkan mata, otot muka, percakapan, mengunyah dan menelan
- 5. Sakit
kuat terutamanya diwaktu malam
- 6. Kesukaran
mengawal kencing dan pembuangan air besar
- 7. Jantung
berdegup kencang
- 8. Tekanan
darah rendah atau tinggi
- 9. Kesukaran
bernafas
Untuk Guillain Barre, simptom/ kelemahan
paling teruk dirasai selepas 2-4 minggu simptom bermula. Proses penyembuhan
biasanya berlaku selepas 2 minggu
Bagaimana jangkitan virus Zika disahkan?
Melalui
sampel darah atau cecair tubuh yang lain seperti air tulang
belakang yang
dibuktikan mengandungi virus Zika
Adakah semua pesakit Zika perlu dirawat dihospital?
Tidak semua
pesakit Zika perlu dimasukkan ke wad. Kes ringan boleh dirawat di rumah. Di
sini saya titipkan:
10 PANDUAN PENJAGAAN PESAKIT ZIKA SEBAGAI PESAKIT LUAR
- Menghadkan pergerakan dan berada di rumah
sehingga tanda-tanda dan gejala telah tiada.
- Menggunakan repellent, memakai baju
berlengan panjang dan berseluar panjang atau menggunakan kelambu untuk
mengelakkan daripada gigitan nyamuk.
- Sekiranya pesakit mengidap gejala-gejala dan
tanda-tanda Guillain-Barre Syndrome yang dikaitkan dengan masalah sistem
saraf, dapatkan rawatan di hospital dengan kadar segera.
- Makan ubat demam seperti paracetamol mengikut
nasihat doktor.
- Sponge atau lap badan dengan kain basah bagi mengurangkan
suhu badan.
- Berehat secukupnya.
- Minum banyak cecair seperti susu, jus buah-buahan,
minuman isotonik dan air barli ( minum melebihi 5 gelas). Meminum air kosong sahaja
tidak mencukupi.
- Melakukan langkah pencegahan di rumah seperti
aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan Aedes di dalam dan luar rumah setiap
minggu.
- Menggunakan semburan aerosol, penghalau nyamuk
seperti lingkaran nyamuk, kepingan pengewapan cecair dan sebagainya.
- Memasang jejaring pada tingkap untuk mengelakkan
nyamuk masuk ke dalam rumah.
Nasihat khusus hendaklah diberikan agar
menangguhkan rancangan untuk mendapatkan anak dan mengandung dalam tempoh
sebulan dari tarikh kepulangan dari negara terbabit. Jika masih ingin berbuat demikian
dalam tempoh tersebut, risiko dari keputusan tersebut hendaklah dijelaskan
sepenuhnya, memandangkan 80% mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang
gejala dan terdapatnya laporan bahawa jangkitan Zika boleh berlaku melalui hubungan
seks. Ujian pengesahan Zika disaran dilakukan dan sekalipun negatif, ia tidak menolak
risiko berlakunya komplikasi seperti “microcephaly”
theCLINIC by Dr Maryam Aziz
Your trusted doctor serving the community
Find me on Facebook and Instagram!